Saturday, August 30, 2008

Anak Kita Harapan Kita


Malam ini, tangan terasa gatal hendak mengetuk keypad. Padahal idea di minda tidak pula menjurus ke arah mana-mana isu. Sambil sekali-sekala menoleh pada adikku Najihah yang sudah hanyut dibuai mimpi, aku teringat kunjungan SMS yang diterima daripada rakannya siang tadi, tapi tegar berbaur ancaman.

Apalah yang ada pada pertelingkahan seorang pelajar Tingkatan 1 MRSM Muar ini? Hati kecilku tergelak kecil apabila membaca SMS tersebut. Panjang berjela melempias amarah yang terbuku di hati. Intipatinya hanya hal kecil yang dibesar-besarkan menurut kaca mataku. Walaupun rentetan SMS itu diakhiri dengan satu pesanan memohon kemaafan atas salah faham yang berlaku, aku tidak dapat menafikan ketidakmatangan insan yang baru menginjak usia remaja.

Adikku tidak cepat melatah dengan SMS tersebut. Cuma kelihatan dia terburu-buru membacanya. Lama juga dia memerap diri di tingkat atas rumah sementara kami semua di bawah, mungkin cuba menjernihkan air yang keruh. Yang pasti, air matanya yang tersisa mengundang agakan di benakku.

Itulah bezanya apabila manusia meningkat usia. Kita akan punya lebih kawalan terhadap emosi dan situasi. Tapi aku harus lebih peka dan memahami. Tidak wajar aku melayan luahan hatinya dengan teropong seorang dewasa. Jika itu yang berlaku, maka aku akan memperkecilkan usahanya menilai situasi dan membentuk jati diri. Bukan ibu bapa sahaja yang besar peranannya. Moga dia lebih cepat matang dalam mengharung kehidupan akan datang.

Teringat aku ketika menghadiri majlis bacaan Yasin di rumah Cik Nor di Labis. Memandu sejauh itu memang meletihkan untuk aku, tapi keletah 5 orang kanak-kanak sekolah rendah sedikit sebanyak menghilangkan lelahku. Ketika tetamu sedang menjamu selera, aku duduk bersimpuh di dulang sambil bermuayashah dengan mereka. Faham-faham sahajalah apabila berborak dengan anak kecil, ada sahaja jawabnya atau loyar buruknya. Setelah selesai makan, salah seorang daripada mereka, Aiman namanya, menghampiriku. "Kita sukalah kat akak," ujarnya selamba. Nasib baik budak darjah 1, aku hanya mampu tersenyum, membalas selambanya.

Kanak-kanak memang begitu. Jujur hatinya bertingkah dengan nakal lagaknya. Alangkah eloknya jika kejujuran itu kekal sehingga ke akhir hayat. Namun, dunia orang dewasa jarang yang sesuci itu. Kita sudah tahu erti berhelah, cover line dan sebagainya. Biasalah, nak hidup kena pandai - cliche sungguh pernyataan ini.

Moga hari-hariku disulami kejujuran dan niat yang murni, walaupun mungkin didatangi situasi yang mencabar sanubari.

p/s: Credit to Ahmad Faris Iskandar, my newborn cousin for drawing a smile on my face. Cepat besar ye?

2 comments:

miss.liyana said...

kite sukelah kat akak.. hehee, comel sungguh budak aiman itu.. rai ade peminat cilik.. kuikuiukuikui~~

perindu_sorga said...

apan jgn jeles, hehe

Upcoming events...