Monday, April 14, 2008

PALESTINE!!! Here I Come!!!


Assalamualaikum w.b.t.
Masih terngiang-ngiang dalam kotak memori ini, ketika Kak Firdausi menceritakan betapa bermaknanya pengalaman menyertai demonstrasi jalanan di Ireland, lebih-lebih lagi memandangkan realiti demonstrasi jalanan di Malaysia tidak sunyi dari semburan gas pemedih mata, suasana huru-hara, hamburan sang polis yang patuh kepada tugasnya untuk meleraikan perhimpunan orang ramai. Ana sendiri tidak pernah menyaksikan apatah lagi menyertai demonstrasi jalanan di Malaysia. Mungkin selepas ini boleh berkongsi pengalaman bersama Sarah, rakan sekelas ana yang sememangnya terdedah dengan acara seumpama ini sejak kecil lagi.

Tanggal 12 April 2008, di saat ana masih lagi berpijak di bumi Ireland, ana beroleh peluang ini, alhamdulillah. Ingin juga ana intai sejauh mana kebenaran komen Kak Firdausi. Ingin juga ana intai neraca penilaian Kak Firdausi, seorang yang berperwatakan menarik pada pandangan ana. Dua hari sebelum itu lagi, Kak Firdausi sudah mengajak untuk turut serta dalam demonstrasi itu sebaik sahaja kami selesai ber'keluarga' di Rumah Sweet 17.

Ternyata, undangan Kak Firdausi membuahkan rasa puas hati di kalangan kami semua. Bayangkan, suasana demonstrasi di Ireland cukup berbeza dengan demonstrasi yang acap kali diadakan di Malaysia. Ana dan beberapa orang dari kami hanya berpuas hati dengan membawa papan tanda yang tertulis 'END THE SIEGE'. Ana tersenyum melihat telatah Kak Firdausi yang kelihatan agak kesal kerana tertinggal bendera Palestin di Rumah Sweet 17, padahal awal-awal lagi dia sudah bercadang untuk mengikat bendera itu di belakang ala-ala Superman. Semakin lebar senyumanku apabila melihat dia tidak putus asa untuk mendapatkan bendera Palestin yang paling besar daripada sukarelawan bertugas.

Ucapan yang berapi-api daripada seorang ahli 'socialist' itu membuka tirai demonstrasi tengah hari itu. Hujan yang turun renyai-renyai pun tidak dapat memadamkan bara semangat kemanusiaan dari wajah-wajah yang hadir. Kadang kala, rasa malu dalam diri ana sendiri timbul apabila memikirkan betapa prihatin umat bangsa kafir yang memperjuangkan hak Islam Palestin atas nama kemanusiaan. Sedangkan ana sendiri belum cukup arif untuk membincangkan banyak hal berkenaan isu negara yang tertindas dan terus tertindas itu. Moga kepergian ana ini, memekarkan kesedaran yang mendalam tentang nasib saudara-saudara seagama.

Perarakan kami mengelilingi Kota Dublin bukan sebarang perarakan. Perarakan kami ibarat Menteri Besar atau Perdana Menteri yang duduk di dalam kereta mewah, di mana kami diiringi oleh polis-polis atau lebih dikenali sebagai 'Gardai' yang setia memberhentikan segenap penjuru kenderaan yang selama ini menguasai jalan-jalan besar agar 'kenderaan' perarakan kami yang jauh lebih besar dan penuh dengan makna perjuangan ini terus dapat melakar kesedaran dalam diri insan-insan yang lalu-lalang di tepian.

Tanpa disangka-sangka, suatu perasaan yang tidak dapat ana kenalpasti menerjah ke dalam sanubari ini. Dengan sekuat-kuat hati, ana melaungkan slogan-slogan kemanusiaan yang sememangnya didahului oleh sukarelawan bertugas.

FREE, FREE PALESTINE!!!

FROM THE RIVER TO THE SEA, PALESTINE SHOULD BE FREE!!!

HEY E.U, WHERE ARE YOU!!!

Ana bukanlah seseorang yang terlalu gemarkan perhatian, cuma ana perasan kumpulan kami sememangnya menjadi perhatian majoriti jurugambar-jurugambar yang leka memetik punat kamera masing-masing. Di saat itu juga, ana mengerti bagaimana perasaan Puteri Diana bersama Dodi Al-Fayed ketika mereka berhadapan dengan kerlipan lampu kamera paparazi yang penuh dengan tipu muslihat. Namun, tidaklah seteruk itu bagi kami. Mungkin sahaja kerana kami sahaja pemastautin dari Asia yang menyertai perarakan tersebut. Tambahan pula kami kelihatan cukup bersemangat, sehingga ana dapat melihat kepuasan senyuman yang terukir di wajah seorang jurugambar bebas yang melihat kami sambil mengambil gambar kami dari pelbagai sudut. Wah, lumayan juga jadi jurugambar ini!

Setelah keletihan berdemonstrasi hilang dek hidangan 'mixed tikka' yang lazat di Restoran Madina, ana kembali menyambung perjalanan ke University College Dublin untuk mencari suatu jawapan yang tidak pasti.

Upcoming events...