Thursday, November 20, 2008

Ketika Gajah Itu Menggila...


Alhamdulillah ya Rabbi, dengan nikmat islam, iman dan nyawa, deretan otot dorsal interrossei ku masih lagi gagah menghenyak papan kekunci demi maksud sharing is caring...

Gajah...sejenis haiwan yang secara fizikalnya besar dan gagah, tetapi aku yakin dalam dirinya terselit kelembutan dan ketakutan. Masih ingat bukan kisah gajah takutkan tikus? Takut2 tikus akan masuk dalam belalai gajah lalu membuat gajah hypoxia lalu brainstem death.

Itulah kisah gajah yang ada dalam kamus kehidupan kanak-kanak kita. Namun kisah gajah yang menarik hatiku besar kaitannya dengan seorang lelaki bernama Abrahah. Siapa tidak kenal Abrahah, gabenor Yaman yang terkenal berkuasa.

Itulah fitrah kuasa. Orang yang berkuasa biasanya mahukan negaranya menjadi tumpuan manusia seluruh alam. Tumpuan diperoleh dengan membina pusat-pusat utama. Lihatlah betapa gahnya Malaysia sejak Menara Berkembar Petronas mula mencakar langit. Itu sekarang. Tapi hakikatnya, sebelum Rasulullah lahir lagi, Mekah sememangnya menjadi tumpuan orang ramai dek tertegaknya Kaabah. Tapi sayang seribu kali sayang, tertegaknya Kaabah bukan kerana mentauhidkan Tuhan, tapi lebih kepada membesar dan mengagungkan keturunan.

Apalagi, Abrahah semestinya cemburu melihat fenomena itu, seolah2nya dia mengalami masalah Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD). Lalu atas nama mengagungkan Kristian, Abrahah membina sebuah gereja di Yaman dengan harapan manusia beralih arah menuju ke sana. Tapi ternyata sia2.

Ternyata jika sejarah itu kita mahu singkapi dan perhalusi, pasti kita dapat melihat lebih banyak bukti bahawa masyarakat Arab jahiliyah itu sebenarnya percaya sahaja pada kewujudan Allah yang Maha Esa. Penggunaan nama Abdullah, surat ugut kepada Rasulullah yang didahului dengan basmallah dan banyak lagi. Dalam kisah tentera Abrahah ini, peranan datuk Nabi, Abdul Mutalib lebih menguatkan bukti2 tersebut.

Kisahnya begini. Sebelum tentera Abrahah tiba di Mekah, Abdul Mutalib meminta unta dari Abrahah. Abrahah hairan, "Apakah Abdul Mutalib ini, bukannya hendak diminta supaya aku tak serang Kaabah, tapi dimintanya unta pula." Tetapi Abdul Mutalib dengan lapang dada menyatakan bahawa Kaabah akan dilindungi oleh Tuannya walaupun jelas sekali Abdul Mutalib masih kafir.

Halangan yang dihadapi oleh tentera Abrahah bukan calang-calang dugaan. Biiznillah, gajah-gajah itu enggan sama sekali untuk masuk ke Mekah. Tambah-tambah lagi, tentera Abrahah diduga dengan 'tentera dari langit'.

"Dan Dia Mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong. Yang melempari mereka dengan batu dari tanah liat yang dibakar. Sehingga mereka dijadikanNya seperti daun-daun yang dimakan ulat."

Padaku, burung ababil ini ada keunikan kisahnya yang tersendiri. Cukup menarik. Kerana wujudnya sesetengah ulama' yang mentafsirkan 'BURUNG YANG MEMBAWA BATU' itu sebagai WABAK CACAR. Tidak kurang juga yang mentafsirkannya sebagai binatang kecil seperti nyamuk yang membawa tanah beracun lagi berkuman.

Cuba kita bandingkan, apakah interpretasi kita apabila mendengar dua pernyataan di bawah:

a) Kuala Lumpur dilanda WABAK CACAR.
b) Kuala Lumpur dilanda SERANGAN BURUNG YANG MEMBAWA TANAH DIBAKAR.

Which one makes more sense to you?

Semestinya pernyataan pertama, kan? Hatta tafsirannya mungkin wabak AIDS, Ebola, SARS dan sebagainya, lebih mudah untuk kita menerima pernyataan pertama.

Tapi kerana apa? Inilah namanya LOGIK AKAL. Manusia sering sahaja mencari2 jalan yang mudah tertaksir dek akal fikiran, tanpa sedar bahawa akal itu boleh jadi lupa, boleh jadi terbatas kepada perkara-perkara bukan ghaib sahaja.

Bukan hendak menuding jari menuduh tafsiran ulama yang kurang tepat dan sebagainya. Tetapi sekadar mengingatkan diri, bahawa bukan perkara yang logik akal sahaja yang berada dalam qudrat dan iradat Allah.

Itulah manusia, kita telah terbiasa dengan sinaran mentari yang menggigit, hembusan bayu yang menyapa, titisan air hujan yang gugur ke bumi, sehingga kita lupa bahawa setiap perkara yang berlaku di sekeliling kita sebenarnya adalah LUAR BIASA. Sama luar biasa dengan tersebarnya wabak cacar, sama anehnya dengan bertebarannya burung ababil menggegar tentera Abrahah.

Ayuh, renungkan kembali alam yang terbentang luas ini. Moga dengan hanya titisan embun pagi di hujung daun yang LUARBIASA, mampu memberi sentakan iman yang cukup terasa di lubuk jiwa.

Dari Ali ra: Jika agama itu semata-mata mengenai logik akal, maka akan aku dapati bahawa menyapu di bawah khuf itu lebih utama dari menyapu di bahagian atasnya.

Upcoming events...