Monday, July 28, 2008

Durian Datang Lagi...


Kasihan aku melihat ayah, terhencut-hencut ketika berjalan, wajahnya berkerut menahan kesakitan. "Ayah makan apa sampai jadi macam ni?" Suatu persoalan cliche yang aku dan mak sering ajukan pada ayah apabila penyakit goutnya kembali menyerang. Aku mula menggeledah kotak short term memoryku. Seingat aku, tiada pula aku masak apa2 yang menarik picu gout ayah. Dan tidak ada pula kami sekeluarga makan apa2 yang berlainan dari kebiasaan. Namun, puas berfikir, jawapan tak kutemu, aku buntu.

GOUT. Sejenis penyakit yang biasa menyerang mereka yang sudah berumur. Kaki membengkak akibat pemendapan kristal asid urik yang terhasil daripada makanan yang mengandungi kandungan purine yang tinggi.

Lantas aku dan mak membawa ayah ke hospital. Mak jadi co-pilot, aku memandu. "Seronok jadi ma'am besar kat belakang ni rupanya ya," ujar ayah berseloroh, tidak padan dengan kesakitan yang sedang dialaminya. Baru aku sedar, aku tidak pernah memandu sambil ayah duduk di belakang. Ayah cukup sukar memberi kepercayaan kepada anak-anaknya. Maklumlah, semuanya perempuan belaka. Kalau hendak ke mana2 dan selagi dia ikut sama, ayah pasti mahu memandu. Tapi kali ini, ayah akur. Kakinya sedang bisa, mana mungkin dapat memijak clutch dengan baik.

Tapi, dalam masa yang sama, aku sudah rasa dewasa. Kepercayaan dari ayah sedang aku takluki sedikit demi sedikit.

Akhirnya, ayah beroleh cuti sakit selama 2 hari. Tidak perlu lama menunggu untuk berjumpa doktor, inilah untungnya bekerja di hospital.

Keesokan harinya, aku terpaksa meninggalkan ayah kerana menghadiri usrah. Pukul 10 pagi aku tiba di Masjid Besar, namun belum ramai yang tiba. Sambil menunggu yang lain, aku rancak mengatur kata menceritakan perihal ayahku yang diserang gout tanpa kuketahui pucuk pangkalnya. "Agaknya sebab dia makan durian kot?" Kak Ara menukil tekaan.

Ya, durianlah jawapannya. Ayah bukanlah seorang yang berlebih-lebihan, dari segi tutur katanya mahupun makan pakainya. Tetapi aku tidak pernah nampak ayah makan durian sebegini berselera. 2-3 hari sebelum ayah diserang gout, ayah memang ada menerima panggilan telefon dari sahabatnya agar pergi ke Parit Yaani dan membeli durian di sana.

Durian Bukit Alam katanya. Ulas duriannya cukup besar - sebesar penumbuk, isinya cukup tebal, kulitnya nipis, pangsanya dalam. Dalam sebiji, cuma boleh dapat dalam 2 hingga 3 ulas sahaja. Aku rasa durian jenis ini memang hidup berdasarkan konsep 'encourage some, discourage others'. Tampak dengan jelas pada pangsa yang tidak berisi, masih terdapat ulas-ulas kecil yang seolah-olah terbantut.

Kali kedua kami makan durian Bukit Alam, ayah hanya memerhati dari jauh. Kasihan ayah...

Upcoming events...