Friday, May 2, 2008

Kisah 3 Muslimah, Kaki Botol dan Wakil Kerajaan Ireland di Malaysia


"Aten, Azi, tunggu kita! Kita nak balik sekali!" Bergema laungan suaraku memecah kebingitan St Stephen's Green Shopping Mall yang sememangnya tidak pernah suram itu. Setelah membisikkan kalimah pesanan terakhir kepada sahabatku, Nazirah, aku bergegas meninggalkannya dan bersegera menuju ke arah Fatin dan Azyan ke muka pintu pusat membeli belah. Bagaikan menyeru2 kami agar segera pulang. Maklumlah, sudah hampir pukul 7 malam.

Setibanya kami di perhentian bas, bas masih belum kunjung tiba. Maka, kami berbual memecah kebosanan ruang. Sambil itu, jariku ligat menekan punat handset untuk menhantar mesej kepada Nazirah. Dengan tidak semena-mena, seorang lelaki tempatan yang tampak tidak terurus menyapa kami. Nah, terserlah bau arak yang pekat apabila dia semakin menghampiri. "Ladies, would you spare me some change, please?" Pintanya penuh pengharapan. Mahu bikin tambang teksi katanya. Tapi, masakan tidak boleh naik bas, bukan? Di dalam ruang legar mindaku, lelaki ini tidak ada bezanya dengan peminta sedekah di tepian jalan. Namun, tanpa ku duga, Fatin telah pun mengeluarkan sejumlah duit syiling dari poketnya. Dan secara automatik, aku turut mengeluarkan wang syilingku dari poket, mahu menyumbang juga fikirku. Lelaki itu kelihatan sangat berterima kasih lantas memeluk kami bertiga. Kami hanya mampu menolak huluran tangannya tanda defensive dengan budaya asing itu.

Sejurus selepas lelaki tersebut beredar, kami mula merancakkan komen-komen panas. Rasa tidak puas hati pun ada, bimbang turut menerpa kalau-kalau wang tersebut gunanya ke arah merosakkan akal yang sejahtera (if you know what I mean).

Fatin: Serius, Aten ingat dia nak duit pecah!
Raihanah: Kita pun blur kejap tadi.
Azi: .....

Dengan tidak semena-mena...

Mr. X: Girls, I guess you are missing Malaysia right now?

Serentak kami berpaling melihat siapakah yang bersuara. Seorang lelaki 40-an, tinggi, berpakaian sederhana, berperwatakan seorang bapa, tapi cukup membuat kami tertarik dengan lafaz perkenalannya. Dari pertemuan singkat di perhentian bas, hingga membawa ke dalam bas, kami seronok berbual dengannya. Itulah Terry Mc Parland yang mesra orangnya, sebagaimana yang tertera dalam kad namanya. Seorang pengurus di International Education Services, Enterprise Ireland yang bertanggungjawab terhadap kemasukan international students ke universiti-universiti di Ireland. Pernah bermastautin di Malaysia selama lima setengah tahun, specifically di Ampang. Berpendapat bahawa Malaysia adalah negara yang menarik tetapi penuh rahsia lagi tersembunyi. Gemarkan makanan Malaysia yang pelbagai dan pandai mengucapkan 'Selamat Pagi'.

Menarik dan tertarik bukan? Apabila ada orang Irish yang seolah-olah berkongsi perasaan dengan kita tentang betapa suburnya Malaysia di hati.

Namun, fikiranku melayang jauh. Terasa seolah-olah niqmat dan ni'mat datang pada masa yang sama., silih berganti. Niqmat akibat wang dihulur kepada seseorang yang tak pasti. Ni'mat berkat perbualan singkat dengan Terry. Rasa bersalah menerpa dalam diri. Tidak sepatutnya aku kesali huluran wang 2 euro kepada kaki botol tadi. Masakan aku tahu ke mana dia membelanjakan wang itu. Totally di luar kawalanku. Semoga huluran yang tak seberapa itu memberi manfaat kepadanya (husnuzzon!). Sambil tersenyum setelah memusatkan pemikiran yang tenang dalam diri, aku melihat mesej di skrin handset yang masih belum ku hantar kepada Nazirah.

SESUNGGUHNYA TIDAK MUNGKIN PERKARA YANG MUNGKIN ITU LEBIH BAIK DARIPADA PERKARA YANG TELAH TERJADI =)

No comments:

Upcoming events...